It just fun to write without being interrupted

September 14, 2014

Be grateful

Aku percaya apa sahaja yang ada pada aku sekarang sudah cukup bagiku. Terlebih cukup sehinggakan ada nikmat yang aku rasa tidak layak untuk aku rasakan. Tapi aku lebih bersyukur rasanya pabila Dia tarik sedikit nikmat itu daripada aku.


Dia gagalkan aku dalam sesuatu, untuk mengingatkan aku pada kelemahan.
Yang setinggi manapun kita, ada waktu kita jatuh terluka untuk mengingatkan kita bahawa kita sentiasa berpijak pada tanah, pada kehinaan darjat kita sebagai hamba.



Dia biarkan aku melakukan silap, untuk mengingatkan aku pada dosa.
Yang selamanya, perjuangan kita melawan diri sendiri itu sentiasa, setiap masa, setiap saat. Selalunya lebih banyak dosa kita buat dalam hati dan benak fikiran dari apa yang terzahir secara fizikal. Perang ini berterusan, sehingga kita terkubur ke tanah.


Dia tarik seseorang aku sayang, untuk mengingatkan aku pada kehilangan.
Hilang cinta pada manusia itu memedihkan tapi tidak pernah kita bandingkan jika hilangnya jiwa dan hati kita pada Dia tatkala terlarinya kita dari cintaNya. Kematian seseorang itu terasa perit untuk tanggung di dunia, tapi kehilangan Tuhan itulah yang sebenarnya mematikan kita.


Terlalu banyak bait-bait kesyukuran yang terlepas dari pandangan kerana hati dungu dipandukan akal keras, kerana lama sudah pandangan kita ditetapkan pada yang salah. 





---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Ini pesan untuk aku dan mungkin kau yang terbaca ini.
Tiba masa untuk kau kalih pandangan.

Lihat ke sana. Di situ lebih indah.
Read More

© Waney.S, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena